Pemahaman kita sebagai warganegara Malaysia tentang isu kaum dan bangsa di negara kita perlu dikaji semula. Pemahaman ini seharusnya diperkembangkan kerana pemahaman yang sedia ada adalah berasaskan satu pemikiran yang cetek dan telah lama ketinggalan zaman.
Seperti naratif politik yang sering digambarkan oleh media dan ahli-ahli politik, konsep ‘kaum’ atau ‘bangsa’ kini dilihat oleh kebanyakan warganegara Malaysia sebagai satu konsep yang hanya menglibatkan empat golongan penduduk di dalam negara kita.
Yang pertama mengikut naratif ini ialah golongan orang Melayu. Yang kedua ialah golongan orang Cina dan yang ketiga ialah golongan orang India. Golongan yang terakhir pula ialah golongan ‘Lain-Lain’, di mana istilah tersebut biasanya digunakan untuk mencampur-adukkan warganegara Malaysia yang tidak terjatuh dalam ketiga-tiga golongan kaum yang dinyatakan terdahulu.
Pemikiran ini digalakkan oleh sistem politik di negara kita. Untuk satu tempoh yang lebih daripada 60 tahun (iaitu sejak pilihan raya umum negara kita yang pertama sehingga pilihan raya umum yang keempat belas) kerajaan negara kita telah berada di bawah pentadbiran koalition politik Barisan Nasional yang kebanyakkannya terdiri daripada parti politik yang masing-masing telah menyeleraskan identiti mereka mengikut empat golongan kaum yang dinyatakan tadi. Ini telah dilakukan sebagai satu strategi politik untuk menjamin kepentingan empat golongan kaum tersebut dalam pentadbiran negara.
Walaupun strategi ini pada awalnya kelihatan sebagai satu strategi yang efektif, sistem politik yang berasaskan kaum dan bangsa ini telah mewujudkan satu bentuk kekangan terhadap cara pemikiran dan pemahaman warganegara Malaysia tentang identiti mereka, terutamanya dalam aspek bangsa dan kaum. Hal ini demikian kerana walaupun naratif tersebut telah memastikan penerusan budaya, tradisi dan adat umum bagi setiap golongan kaum, naratif ini telah secara tidak sengaja telah menyebabkan warganegara Malaysia untuk memiliki satu pandangan yang cetek terhadap bukan sahaja kaum dan bangsa yang lain tetapi juga terhadap kaum dan bangsa sendiri.
Secara contoh, kaum Cina di Malaysia mungkin dipandang oleh kaum lain sebagai golongan kaum yang berpakaian tradisi Cheongsam dan berbahasa Mandarin sahaja. Namun begitu, kebanyakan golongan imigren di Malaysia yang dikategorikan sebagai kaum Cina sebenarnya berasal dari tempat di China yang langsung tidak mempunyai Cheongsam sebagai pakaian tradisi. Sebaliknya, golongan imigren yang dikategorikan sebagai Cina di Malaysia sebenarnya terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik China yang mempunyai adat, tradisi, loghat atau bahasa tersendiri dan kumpulan-kumpulan etnik ini tidak hanya berbahasa Mandarin dan berpakaian Cheongsam seperti yang difikirkan oleh kebanyakan warganegara Malaysia.
Perkara ini adalah sama juga bagi golongan imigren yang diklasifikasikan sebagai golongan orang India, di mana dalam golongan itu ada banyak kumpulan etnik tersendiri yang mempunyai adat, tradisi dan bahasa yang amat berbeza antara satu sama lain.
Golongan orang Melayu juga adalah sama dan mereka mempunyai latar belakang yang berbagai-bagai seperti kumpulan Minangkabau, Bugis dan banyak lagi yang berasal dari tempat-tempat yang tidak terhad kepada sempadan Semenanjung Malaysia sahaja. Malah, identiti mereka tidak terikat kepada agama Islam dan ada kebanyakan tradisi dan budaya mereka yang dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha seperti keris. Fakta ini juga dapat dilihat dalam kehidupan Orang Asal di Malaysia yang mempunyai aspek atau budaya yang berlainan daripada agama Islam.
Persoalan yang jelas wujud adalah kenapa pula definisi orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan kita mewajibkan orang Melayu untuk mengamalkan agama Islam, memandangkan bahawa di sebaliknya budaya dan tradisi orang Melayu tidak semestinya terikat kepada agama tersebut. Definisi ini juga bermasalah dalam cara ia hanya mengambil kira aspek budaya dan agama dalam definisi seseorang Melayu. Perkara ini bermakna seseorang yang asalnya beretnik kaum Hakka atau Teochew tetapi mengamalkan budaya Melayu dan agama Islam akan diambil kira sebagai orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan kita. Sekiranya, orang Melayu diberikan definisi dalam Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan melindungi warga asal negara Malaysia, tidakkah kebolehan seseorang yang beretnik Cina atau India untuk diklasifikasikan sebagai orang Melayu dengan mudah melalui definisi ini menjadi satu masalah?
Ada kemungkinan besar definisi tersebut tidak mengambil kira kumpulan etnik kerana terdapat terlalu banyak kumpulan etnik di Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu dan satu senarai yang lengkap adalah mustahil. Hal ini sekiranya benar menunjukkan satu fakta yang saya hujahkan perlu diberikan kepentingan yang besar, iaitu ciri-ciri etnik seseorang lagipun kaum mereka adalah satu perkara yang amat sukar untuk diberikan satu definisi yang tetap. Ada banyak orang yang mengelar diri mereka sebagai orang Melayu tetapi jika DNA mereka dianalisa, mereka mungkin terkejut untuk mengetahui bahawa mereka tidak semestinya berketurunan kumpulan etnik Melayu sahaja dan mungkin mempunyai kacukan orang Cina dan juga orang India. Sekiranya ini berlaku, adakah seseorang itu menjadi orang Melayu jika DNA mereka itu adalah 51%? Adakah 51% terlalu banyak dan kita harus mempunyai batasan 50.3%? Adakah Timbalan Perdana Menteri kita yang mempunyai darah etnik Cina ialah orang Melayu atau tidak?
Kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam pemahaman kami tentang etnik, kaum dan bangsa.
Sekiranya kaum itu bukan berdasarkan ciri-ciri etnik dan DNA seseorang, adakah ini bermaksud pula bahawa kaum seseorang itu boleh ditukarkan dengan sesuka hati?
Apakah itu ‘kaum’ sebenarnya? Apakah ciri objektif yang boleh menentukan kaum seseorang? Adalah ia saiz hidung dan saiz mata? Jenis kulit dan warna kulit? Kalau ia adalah berdasarkan budaya sahaja, adakah tindakan untuk menindas sesuatu ‘kaum’ boleh dikatakan berasaskan apa-apa logik yang munasabah, memandangkan bahawa garisan yang menetapkan apa itu budaya sentiasa beralih dan tidak tetap? Sekiranya tidak mengamalkan budaya dan hanya ikut budaya barat, adakah seseorang Melayu akan kehilangan identitinya?
Atau adakah ciri yang sebenarnya diberikan kepentingan adalah ciri agama? Kalau jawapannya ya, jangan gabungkan isu itu dengan isu perkauman.
Faktanya mudah sahaja. Ada banyak orang Melayu, orang Cina dan orang India di dalam negara kita yang mempunyai masalah ekonomi yang teruk dan harus bekerja seperti ayam, kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Ada banyak orang Melayu, orang Cina dan orang India yang kaya juga. Ada banyak orang Melayu, Cina dan India yang baik hati dan peramah. Ada banyak orang Melayu, Cina dan orang India yang bersikap buruk dan menyokong sentimen perkauman.
Tidak penat kah, setiap kali kita guna istilah Melayu, Cina dan India? Setiap satu orang di dunia ini berlainan dan kita tidak boleh kata bahawa seseorang yang berkaum Melayu, Cina atau India akan mempunyai mentaliti atau personaliti yang sama.
Pemikiran itu dipanggil stereotaip dan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyambut perpaduan dan toleransi sepatutnya berfikiran lebih matang.
Nilai di sebalik sikap nationalisme adalah penting dan sekiranya nilai itu adalah berasaskan sentimen yang rasis, kita sebagai sebuah negara tidak akan maju.
Kita tidak boleh lupa bahawa warna biru dalam Jalur Gemilang itu adalah warna yang melambangkan perpaduan berbilang kaum di Malaysia dan perpaduan itu merupakan satu fakta yang patut menjadi kebanggaan negara kita.
-First published on Facebook.
Comments